Petikan dari Metro Ahad 1 November 2009

Salam semua,

Tuan-tuan dan puan-puan,

Minggu ini saya ingin berkongsi tentang satu rahsia yang saya pelajari sejak saya kecil lagi, saya tertarik untuk berkongsi dengan anda tentang salah satu rahsia teknik getaran kekayaan dan kejayaan yang insyaAllah amat ‘Powerful’ yang selalu saya sampaikan di dalam program saya.

Cuma teknik ini agak mudah didengar tetapi untuk sesetengah orang, agak tidak mudah untuk dilaksanakan. Bagi anda yang telah menggunakan teknik ini secara sedar atau tidak, tahniah saya ucapkan.

Tips untuk mendapat keberkatan rezeki sebenarnya banyak, tetapi minggu ini, saya ingin berkongsi dengan anda tips ini untuk ingatan juga kepada diri saya iaitu ‘Menggembirakan Hati Ibu Bapa’ (Kalau Masih ada).

Mungkin ada yang bertanya, itu jer Dr?… iya betul… tetapi ia tidak mudah jika tidak disertai dengan ‘Hati’ atau keikhlasan… Dan bukan dengan sekadar sebab kita nak kaya yang menyebabkan kita berbakti kepada mereka tetapi ia adalah di atas keikhlasan hati.

Ramai orang yang berjaya serta kaya atau tidak kaya raya tetapi hidup dengan penuh keberkatan, salah satu faktor untuk diambil sebagai ikhtibar adalah mereka sentiasa berusaha untuk menggembirakan hati ibu bapa. Ini adalah berdasarkan pengalaman sesi konsultasi yang saya buat dengan ramai peserta saya.

Begitulah sebaliknya, saya juga dapati sebagai iktibar bagi diri saya, bagaimana ada mereka yang hidup mereka dipenuhi dengan kesempitan wang, kesusahan, tidak tenteram, wang sentiasa bocor, sikit bocor banyak lagi bocor dan ianya mungkin berlaku di atas banyak sebab. Tetapi ditakuti ianya adalah kerana mereka ini bukan sahaja tidak berusaha untuk menggembirakan hati ibu bapa mereka malah mereka menyakiti hati ibu bapa mereka.

Bagaimana menyakiti hati ibu bapa? Sangat mudah, sekiranya mereka masih hidup, anda jarang-jarang hubungi mereka bertanya khabar, kalau telefon pun bila ada masalah sahaja atau tempat untuk melepaskan geram atau marah. Ada yang bila tidak ada duit atau perlukan duit, baru dia kenal ibu bapa mereka, ada yang anak-anak lebih mendahulukan isteri mereka daripada ibu bapa mereka, ada yang tidak kisah isteri mereka bercakap kasar, kurang ajar atau tengking ibu bapa mereka. Ada yang langsung tak jenguk ibu bapa mereka, ada yang setiasa bersangka buruk dengan ibu bapa mereka dan minta maaf hanya bila raya.

Sudahlah tidak menggembirakan hati mereka malah hati mereka disakiti… Bagaimana nak dapat keberkatan hidup dan getaran kekayaan serta kejayaan?

Terutamanya sekiranya anda adalah anak lelaki. Ia juga termasuk isteri anak lelaki mereka yang perlu bekerjasama menggembirakan hati suami mereka dengan menggembirakan hati ibu-bapa suami mereka supaya mereka sekeluarga mendapat barokah insya-Allah. Bagi wanita, keutamaan anda adalah ibu bapa anda sehinggalah anda berumah tangga, maka keutamaan anda adalah suami anda.

‘Syurga di tapak kaki ibu’ pernah dengar? Relevannya adalah salah satu kunci ketenangan adalah terletak pada ibu dan tak tertinggal bapa juga… Mereka biasanya sanggup untuk buat apa sahaja untuk membesarkan anak-anak mereka tetapi bagi sesetengah anak-anak, mereka tidak sanggup untuk berbuat apa saja untuk membahagiakan mereka.

Bak kata seorang ibu yang saya pernah jumpa sebelum ini yang mengadu tentang hal anak-anak dia, dia cakap ‘ibu bapa bukan nak mintak wang ringgit daripada anak-anak, tetapi menumpang kasih  sayang, sedikit perhtian selagi ada di dunia ini’.

Tetapi saya katakan kepada ibu tersebut, setiap anak-anak mempunyai kemampuannya sendiri, ada yang menggembirakan ibunya dengan memasak untuk ibunya, ada yang memberikan wang, ada yang menyumbang tenaga kepada ibunya tetapi ada satu spesis ini saya pernah jumpa, dia cakap tak perlu jumpa ibu bapa dia, tak payah nak telefon tanya khabar, tak payah balik pun masa hari raya sebab dia sentiasa doakan ibu bapa dia. Tetapi dia juga selalu berkongsi masalah hidup dia yang susah, masalah demi masalah datang bertimpa-timpa, hidup dia tidak tenteram dan nasihat saya kepada dia adalah sentiasa minta ampun daripada ibu bapanya dan berusahalah untuk menjadi anak yang lebih berusaha untuk menggemburakan hati ibu bapa dia. Mudah-mudahan Allah swt akan lebih mempermudahkan semua urusannya. Wallahu A’lam

Ibu bapa bukan nak minta wang ringgt daripada anak-anak, tetapi menumpang kasih sayang, sedikit perhatian selagi ada di dunia ini…


Tags:

Leave a Reply

*